Hati dan fikiranmu…
Sering bermonolog sendirian,
Mampukah dirimu menjadi seperti para bidadari Syurga,
Hikayat bermula dengan Adam dan Hawa,
Manusia pertama mengenal cinta,
Hidup bahgia di Syurga nan indah,
Dicampakkan ke dunia kerna hasutan syaitan,
Berpisah jua kerna kesilapan,
Taubat mereka sesungguhnya taubat,
Diterima Allah kerna keinsafan,
Bertemu kembali dalam kerahmatan…
Dirimu ingin segigih dan setabah Siti Hajar,
Ditinggalkan suami kerna perintah Tuhan,
Sabar berharap hanya kepada-Nya,
Air dicari dari Safa ke Marwah,
Lantaran dahaga bersama Ismail tersayang,
Berkat tendangan bakal Nabi akhirnya terserlah,
Terpancut sudah air zam-zam…
Kehormatan dirimu ingin dipelihara,
Seumpama Maryam perawan yang mulia,
Ibarat mawar indah berpagarkan duri,
Akhlak terpuji dan berperibadi tinggi,
Kerna ketekunan, kemuliaan, dan kesucian,
Allah memilih rahimnya yang suci murni,
Untuk menghamilkan Isa seorang Nabi,
Sebagai bukti kebesaran Ilahi…
Kisah Aminah mencipta ketabahanmu,
Dalam kesabaran melahirkan Rasul,
Mengandungkan rahmat memberi keberkatan,
Mengasuh dan mendidik penuh kecintaan,
Hingga terserlah bijak, pandai, dan cerdas,
Meninggalkan yang baik melahirkan kesucian…
Lagenda cinta Siti Khadijah penyeri hidupmu,
Lantaran mengenang agung cintanya terhadap Ilahi,
Kekasih Allah didampingi dalam susah dan senang,
Melahirkan kesetiaan jua keturunan,
Harta ditabur ke medan perjuangan,
Bersama pengorbanan hingga ke akhir hayat…
Terharu hatimu dengan pengorbanan,
Seorang isteri bernama Saudah,
Dipilih Rasul lantaran simpati,
Kerna kekurangan diri merelakan Rasul pergi,
Terharu Baginda kerna kemuliaan,
Tetap bersama sebagai suami isteri,
Walau giliran diberi ganti…
Kau sering mendidik jiwamu,
Menerbitkan kesabaran seteguh Aisyah,
Bijaksana dalam meniti kesusahan dan pengorbanan,
Lantaran fitnah yang tidak mengenal sesiapa,
Sentiasa tabah demi sebuah hikmah,
Mengharungi arus kehidupan yang penuh ujian…
Mungkinkah tersemai ketaatanmu,
Setelah mendengar kisah Hafsah ,
Kelemahan sebagai isteri akhirnya disedari,
Terluka hati Baginda buat seketika,
Lantas memohon keampunan-Nya,
Hingga ketaatannya kepada suami,
Juga kepada Allah melebihi segala-galanya…
Kisah sementara turut jadi renunganmu,
Dalam kemurahan hati Zainab isteri Baginda,
Belas kasihannya wujud dalam kelembutan diri,
Fakir dan miskin terus dibela,
Walau hidup seketika cuma,
Kemuliaan diri menjadi lambang utama…
Sekuat mana pendirian dan peganganmu,
Setelah menghayati kisah Hindun,
Isteri solehah menyejukkan mata,
Penawar hati juga penajam fikiran,
Bijaksana dalam membuat keputusan,
Turunnya wahyu sering disaksikannya,
Memberi keberkatan sepanjang berjuang…
Cabaran hidupmu perlu dititipkan kesabaran,
Agar diganjar Allah seperti Ramlah,
Kesepiannya terisi menerima lamaran Rasulullah,
Pahit getir hidup dilalui bersama,
Akhirnya Islam menjadi agama ayahnya,
Dikabulkan permintaan syukur kepada-Nya,
Maaf diucap hingga ke akhirnya…
Keliru hatimu dalam pemilihan,
Renungkanlah kisah Zainab puteri Rasulullah,
Walau keliru tetap memilih Tuhan yang Satu,
Walau suaminya kufur tetap memelihara iman,
Demi cinta dapat tempuhi segala rintangan,
Hingga suami merasai keinsafan…
Hatimu hiba melihat pengorbanan,
Puteri solehah bernama Siti Fatimah,
Menanggung penderitaan dengan sabar dan tabah,
Membentuk keteguhan hati dan kuat pendirian,
Taat dan akur dalam setiap perintah,
Bagaikan wangian bunga dari syurga,
Menjadi tempat buat selama-lamanya…
Impianmu ingin secantik dan secerdik Balqis,
Disinari cahaya hidayah mengubah takdirnya,
Cahaya muncul dalam kejahilan diri,
Kerna kebijaksanaan dalam pemilihan,
Memberi ketaatan kepada suami seorang Nabi,
Demi mencari cinta yang hakiki…
Sedarkan dirimu dari diulit rindu,
Dengan kisah Zulaikha yang dambakan cinta,
Pelbagai cara melalaikan hatinya,
Hingga keliru dengan pembohongan,
Bertemu cintanya satu keberkatan,
Kerna cinta itu memberi keinsafan,
Akhirnya sedar ada yang lebih berhak,
Cinta Allah tiada tandingan…
Pilu hatimu mendengar kisah Yukabid,
Kerna anak lelakinya terpaksa dipisahkan,
Peti berisikan Musa dibawa arus sungai,
Namun sampai ke istana Fir’aun,
Dipelihara Asiah penuh kasih sayang,
Walau terpisah berpeluang menyusukan,
Tetap tabah menerima takdir Tuhan…
Dirimu ingin seharum Masyitah,
Wanita mulia pembela agama,
Tidak menyerah kalah walau diseksa,
Tiada gentar juga tiada takut,
Minyak mendidih sanggup direnangi,
Melahirkan keajaiban harum semerbak,
Hingga harumannya sampai ke Syurga…
Jauh di sudut hatimu ingin berkorban,
Ibarat Asiah yang terkorban di tangan Fir’aun,
Dipenjara dan diseksa sedemikian rupa,
Namun hati tetap mengagungkan Allah,
Tangannya juga menyelamatkan Musa,
Sehingga menjadi Nabi terbilang,
Tercipta akhirnya sebuah singgahsana,
Buat Ratu Syahadah di Syurga yang abadi…
Kau dengar kisah Halimah As-Sa’diah,
Ibu susuan juga pengasuh Baginda,
Walau upah tidak seberapa,
Tetap menerima agar mendapat barakah,
Rezeki melimpah mendapat nikmat,
Kerna hati yang mulia dalam rahmat-Nya,
Jasa dikenang sepanjang zaman…
Kau jua impikan hati selembut Sumayyah,
Yang dalam kelembutannya tersulam teguhnya iman,
Menjadi lambang wanita solehah,
Syahid pertama dalam pangkuan Islam,
Dibunuh di dunia cuma sementara,
Bersama keluarga Yasir tetap memilih Syurga,
Yang pastinya akan kekal buat selama-lamanya…
Terciptakah kasihmu umpama Barakah,
Ummu Aiman gelarannya dalam sejarah Islam,
Kasihkan Rasulullah tiada tersisih,
Sentiasa bersama dalam keberkatan,
Sesudah Aminah, dialah ibu Baginda,
Kerna jasanya sangat dihargai,
Syurga yang abadi itu balasannya…
Kagum dirimu dengan semangat Nasibah,
Lambang kegagahan seorang wanita,
Memperjuangkan Islam tiada gentar,
Keberanian tercipta di medan peperangan,
Mempertahankan Baginda tiada kejemuan,
Bukti kehebatan seorang wanita,
Syurga buatnya itulah doa Rasul…
Pasrahkan hatimu seperti Rumaisa,
Sentiasa redha dengan ketentuan Tuhan,
Anugerah sementara dirinya mengerti,
Tabahnya hati kerna keimanan,
Sedarkan suaminya tentang pinjaman,
Agar hidup sentiasa bahgia hingga ke Syurga…
Kemuliaan Al-Khansaa’ perlu kau contohi,
Syahdu syairnya memberi semangat,
Hebat bersyair dalam naungan Islam,
Relakan anak-anaknya syahid dalam perang,
Walau kehilangan tetap dalam tenang,
Kerna Syurga pasti jadi balasan…
Ciptakan keberanianmu seperti Khaulah,
Ibarat lelaki sedang berperang,
Menjadi misteri kerna kecekapan,
Hebat bertempur walau seorang wanita,
Harum namanya sepanjang zaman,
Dalam mengenali erti perjuangan…
Kagum dikau dengan kisahnya,
Asma’ Abu Bakar pertahankan agama,
Rasul dan ayahnya perlu perlindungan,
Sanggup berkorban walau jadi sasaran,
Ditampar dihina dianggap biasa,
Rahsia dijaga tetap terpelihara,
Redha kepada-Nya bersama sentiasa…
Kesetiaanmu perlu dijadikan perhatian,
Setelah membaca kisah Nai’lah,
Bersama suaminya Uthman dalam perjuangan,
Fitnah menyala tanpa disangka,
Suami dipertahankan walau diri tercedera,
Tetap ada setia walau berpisah,
Menjadi hiasan ibarat permata…
Sanggupkah dirimu seperti Zainab binti Ali,
Menyaksikan pelbagai peristiwa dalam perjuangan,
Peristiwa Karbala menguji keimanannya,
Lantaran gugurnya saudara-saudara kesayangan,
Mata menatap darah suci pejuang Islam,
Namun semangatnya tetap dinyalakan,
Mengabdikan diri kepada-Nya hingga akhir hayat…
Pengabdiaan agungnya membuatmu sedar,
Rabiatul Adawiyah taat kepada pencipta,
Kekurangan hidup bukan penghalang,
Keimanan dan ketakwaan tetap bercambah,
Terlatih dirinya berjiwa suci dan bersih,
Berat penderitaan tetap bersabar,
Menuju kepada Zat Allah semata-mata…
Kisah Zubaidah menjadi kebanggaanmu,
Wanita misali bersemangat waja,
Lambang kewanitaan zaman Abbasiyah,
Bijaksana dalam pelbagai bidang,
Mulia dirinya walau berkedudukan,
Kemewahan ditabur ke jalan kebajikan,
Menjadi rujukan seluruh ummah…
Penderitaan Zinnirah menjadi renungan buatmu,
Lantaran pengorbanannya terhadap agama,
Hilang pancaindera tuk melihat dunia,
Kalimah “Allahu Akbar” tetap menjadi sebutan,
Mata bercahaya kembali kerna keteguhan iman,
Menjadi penyeri di Syurga tertinggi…
Kisah Ainul Mardhiah menjadi tarikanmu,
Antara bidadari yang sangat rupawan,
Membakar semangat lelaki dalam berjuang,
Bukti cinta sejati seorang pejuang,
Penantiannya hanya kepada syahid di medan perjuangan,
Membawa ke Syurga kekal selamanya…
Walau kutahu kau tidak mampu,
Akan tetap kuterima seadanya,
Cukuplah dikau menjadi bidadari hidupku,
Kerana aku tidak layak berharap sedemikian rupa,
Cukuplah sekadar dirimu mencontohi bunga-bunga itu,
Agar kasih bersemi kan kembang mekar mewangi,
Mengharum melewati pintu SYURGA nan abadi…
Rujukan: Buku "Riwayat Bidadari Syurga",
oleh: Munif Ahmad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan